Lihat bagaimana cara Si Kaya “brainwash” Si Miskin
Hari ini, saya nak buat kelainan sikit. Kisah ini sebenarnya saya ada terbaca dekat salah satu group akaun dekat telegram. Kisah ini sangat menarik minat saya dan ia membuat saya tersedar sesuatu. Jadi saya decide untuk kongsikan dengan anda semua. Saya harap kisah ini boleh memberi teladan dan pembangkit semangat untuk kita terutamanya yang berada dalam dunia bisnes. Kisah ini saya bagi nama sebagai “Si Miskin Dengan Si Kaya.”
“Si Miskin dengan Si Kaya.”
Pada suatu hari, si kaya berjumpa dengan si miskin. Dalam pertemuan mereka si kaya menanyakan satu soalan kepada si miskin. “Andai aku boleh tunaikan satu permintaan kamu, apa yang kamu akan minta kepada aku?”
“Aku mahu minta kamu berikan kepada aku modal untuk aku buka perniagaan yang aku impikan. Aku orang miskin. Aku tidak ada modal yang besar untuk aku mulakan perniagaan.” Jawab si miskin.
“Kamu pernah berniaga?”
“Tidak, Aku tidak pernah berniaga tapi aku mempunyai keingginan untuk mengubah nasib aku. Aku tidak mahu semalanya menjadi orang miskin.” Kata si miskin.
Lama si kaya berdiam diri. Lalu dia berkata “Baik, tapi ada satu syarat yang kamu perlu penuhi terlebih dahulu. Esok jam 5 petang. Kamu perlu tunggu aku di tebing sungai.”
Tanpa banyak soal, si miskin hanya bersetuju dengan permintaan si kaya. Si miskin betul-betul berharap si kaya dapat membantu dia mengubah nasib hidupnya. Dia betul-betul perlukan duit modal itu untuk mulakan perniagaannya sendiri.
Keesokkan harinya, si miskin menunggu si kaya itu datang di tebing sungai seperti yang dijanjikan semalam. Si miskin tidak sabar lagi untuk berjumpa dengan si kaya untuk menerima duit modal tersebut. Setelah beberapa minit menunggu, si kaya itu sampai lalu bertanya kepada si miskin “Berapakah modal yang kamu inginkan?
“Tak banyak pun, aku nak dalam 3 ribu ringgit je. Cukuplah untuk aku beli semua barang jualan yang aku perlukan untuk perniagaan aku tu nanti.” Jawab si miskin dengan semangatnya.
“Okey, sebelum itu ambil dulu pancing dan umpan ini.”
Si miskin mengambil pancing dengan umpan ini dengan muka hairan.
“Syaratnya, kau perlu pancing 100 ekor ikan. Jika kau berjaya, aku akan bagi duit yang kamu minta tadi.” kata si kaya dengan nada yang tegas.
“Tapi aku datang sini untuk mintak duit yang kau janjikan kat aku semalam. kenapa pulak aku kena memancing? Aku dah lah tak pernah memancing. Macam mana aku nak dapatkan 100 ekor ikan yang kau mintak tu.” Marah si miskin.
“Ini sahaja syarat yang aku mintak dekat kau. kalau kau tak boleh nak dapatkan 100 ekor hari ni. kau boleh cuba lagi esok dan hari seterusnya. Kau terima tak syarat kau ni?” kata si kaya sambil mengangkat sebelah keningnya. Seolah-olah mencabar si miskin untuk menyahut cabarannya.
Si miskin tiada pilihan lain selain menyahut cabaran yang diberikan kepadanya. Lalu dia pun mula memancing. Setelah berjam-jam menunggu, tiada hasil. Dia teruskan menunggu hingga matahari terbenam. Namun, masih kelihatan hampa.
Keesokkan harinya, si kaya datang berjumpa dengan si miskin. Lalu bertanya “Kamu sudah dapat ikan yang aku minta?”
“Belum, macam mana aku nak dapatkan ikan kalau aku tak pernah tangkap ikan sebelum ni. Aku mana ada pengalaman dan ilmu memancing. Sampai bila aku terus tunggu ni?”
“Sabar, cuba lagi sampai dapat. Esok aku akan datang lagi. Selamat berusaha!”
Pada hari kedua, si miskin masih lagi gagal. Begitulah hari yang berikutnya.
Tiba hari yang ke tujuh, si kaya bertanya lagi. “Kamu sudah dapat ikan yang aku minta?”
Si miskin mula marah. “Aku ingin kamu membantu aku untuk pinjamkan duit modal kepada aku tapi kamu menyuruh aku untuk memancing 100 ekor ikan. Macam mana aku nak dapatkan 100 ekor ikan tu? kalau aku bernasib baik pun, aku mungkin akan dapat dalam 2/3 ekor je. Cuba kau cakap, berapa lama lagi yang aku perlu tunggu untuk aku dapatkan modal aku tu? kalau macam ni! sampai kesudah aku takkan dapat mulakan perniagaan aku.”
“Sabar. mari duduk sini dulu. Aku ada bawakan air dekat kamu.” Si kaya menghulur air minuman yang baru di belinya sebelum datang berjumpa dengan si miskin.
Si miskin menyambut huluran tersebut. Lalu, duduk sebelah si kaya. Mereka duduk minum bersama.
“Betul kamu penat?” tanya si kaya kepada si miskin.
“Mestilah aku penat, aku terpaksa berpanas semata-mata untuk dapatkan ikan yang kamu mintak tu tapi aku tak dapatkan hasil pun.”
“Sekarang ini aku nak tanya kamu satu soalan. Kamu masih nak duit modal yang kau pernah mintak dekat aku dulu?”
“Mestilah aku nak! Dah seminggu aku cuba untuk penuhi permintaan kamu itu. Aku buat semua ni sebab aku nakkan duit modal tu lah.”
“Kalau aku bagi duit itu, kamu boleh tak untuk janji dengan aku untuk bayar balik hutang kamu itu dalam masa 6 bulan?”
“Insyaallah, aku boleh usahakan.” kata si miskin.
“Bagaimana kamu boleh begitu yakin yang kamu dapat bayar balik hutang kamu itu dalam masa 6 bulan sedangkan baru 7 hari kamu memancing. Kamu sudah marah-marah sebab tak dapat sebarang hasil. Kamu sudah pun berputus asa.”
Si miskin itu tersentak. Dia terdiam mendengar apa yang dikatakan oleh si kaya. Lalu si kaya berkata lagi, “Perniagaan ini sama juga seperti memancing. Tanpa ilmu dan pengalaman, kamu akan mudah kecundang walaupum kamu mempunyai modal (pancing & umpan).”
“Kamu kata kamu yakin yang kamu akan dapat bayar balik hutang aku dalam masa 6 bulan, tapi kamu pasti ke perniagaan kamu akan untung? Sedangkan baru seminggu kamu sudah putus asa. Perniagaan ini sebenarnya jauh lebih mencabar dari apa yang kamu fikirkan. Kamu yakin ke yang kamu tak akan putus asa walaupun awal perniagaan kamu, kamu tidak dapat sebarang hasil?”
“Insyaallah, aku akan cuba. Aku yakin bila aku dapat duit modal itu nanti. Aku akan dapat jalankan perniagaan yang aku suka.”
“Okey macam ni, Kamu nak tak kalau aku tunjukkan cara yang betul untuk memancing untuk dapatkan 100 ekor ikan? Kalau kau berjaya, aku akan bagi apa yang kamu mintak.”
“Baik! Tolong ajarkan aku.”
Maka si kaya mula mengajar si miskin bagaimana cara-cara dan teknik yang betul untuk memancing. Hari demi hari ilmu yang diajari oleh si kaya membuahkan hasil. Kini si miskin mahir untuk menangkap ikan.
Setiap hasil yang didapatkannya, diakan menjual di pekan di atas arahan yang diberikannya. Duit hasil jualannya akan diserahkan kepada si kaya. Begitulah yang dilakukan oleh nya saban hari sehingga hasil tangkapannya cukup 100. Si miskin kelihatan begitu gembira kerana berjaya memenuhi syarat si kaya.
“Aku dah berjaya memenuhi syarat yang kamu berikan kepada aku. Sekarang, bolehkah aku mendapatkan duit modal yang kamu pernah janjikan dahulu?”
Lalu si kaya mengeluarkan sejumlah wang lalu diserahkan kepada si miskin.
“Nah ambil duit ini dan kamu tidak perlu bayar balik kepada aku.” kata si kaya.
“Hah! kenapa? bukan kah aku pernah berjanji aku akan bayar semula duit ini?”
“Ini adalah duit dari hasil jualan kamu selama ini. Hasil dari tangkapan kamu sendiri.”
Si miskin sangat terharu apabila mendengar apa yang si kaya katakan kepadanya. Dia tidak menyangka si kaya mengajarnya sesuatu yang tak ternilai di dunia ini. Lebih bernilai dari wang yang dipinjamkannya.
“Terima kasih kerana memberikan aku ilmu yang sangat berharga. Hari ini baru aku faham kenapa kamu meminta aku untuk memancing 100 ekor ikan. Tanpa tunjuk ajar kau aku yakin aku takkan mampu berjaya dalam perniagaan”
“Aku juga pernah diajar memancing seperti kamu. Berkat kesabaran aku berjaya menjadi seperti apa kamu lihat hari ini”.
Akhirnya si miskin meneruskan memancing dan menjual ikan sehingga dia mampu menjadi pembekal ikan terbesar di daerahnya. Lalu dia kini menjadi orang kaya.
Sahabat sekalian, kisah ini memberi pengajaran kepada kita semua.
Kita seringkali merasakan ujian demi ujian yang hadir ke dalam hidup kita ini sebagai satu bebanan dan hukuman. Tapi jarang kita memandang sisi baik di setiap ujian yang mendatang dalam hidup kita.
Perjalanan menuju kejayaan itu tidak mudah. Seringkali disulami dengan kegagalan, kekecewaan, kesedihan dan keperitan. Tapi di sebalik semua itu tanpa kita sedar kita menjadi semakin kuat, kita lebih bijak, bertambah ilmu dan pengalaman. Dan seandainya kita sanggup bertahan, kita pasti akan mencapai kejayaan.
Teruskan perjuangan sahabatku.
Proses kejayaan itu memang tidak cantik. Seringkali tidak diendahkan sesiapa. Tetapi berlian tidak akan terhasil tanpa tekanan yang sangat kuat. Ketahuilah siapa pun kita hari ini tidak menentukan siapa kita pada hari esok.
Teruskan melangkah jangan pernah mengalah!